Sudah kira-kira 3 hari Laman PFKE.com sepi bukan kerana tidak punya info tetapi pihak kami sebenarnya tidak mahu terlalu menyebarkan tentang pemain yang bakal bersama The Red Warriors musim hadapan. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pihak yang cuba 'mengintip' perkembangan persiapan pasukan Kelantan melalui laman web dan juga facebook.
Ia sudah pasti akan menganggu pihak pengurusan KAFA untuk menguruskan tentang pemain-pemain. Sebelum ini, sudah ramai pemain yang diramal akan bersama Kelantan FA musim hadapan sudah disapu bersih oleh sebuah persatuan bolasepak yang mempunyai dana yang cukup besar. Yang itu pihak kami tidak mahu perkatakan. Sebaliknya, post pada kali ini lebih berkisarkan tentang Khyril Muhymeen yang merupakan satu-satunya penyerang Kedah FA yang kini dikaitkan bakal menyarung jersi The Red Warriors musim hadapan.
Tidak dapat dinafikan bahawa pemain yang berumur 29 tahun itu kini berada di puncak prestasi apabila kerap kali menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan Piala Malaysia musim ini meskipun beliau baru sahaja pulih dari kecederaan. Kelebihan beliau yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang menjadikan beliau antara pemain bolasepak yang cukup digeruni dalam arena bolasepak negara. Apa yang pasti, bakat pemain kelahiran Kedah ini mula terselah sewaktu beliau berjaya berada dalam kesebelasan Sang Kenari pada musim 2005/2006.
Namun begitu, kini episod baru bakal bermula dalam kariernya yang mana pada ketika ini dikatakan Khyril bakal berhijrah ke Kota Bharu bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh beberapa pemain Kelantan FA yang akan berhijrah dalam masa terdekat. Adakah beliau akan mengambil alih posisi Norshahrul Idlan Talaha? Itu tidak mustahil memandangkan Norshahrul yang pada ketika ini dikatakan berminat untuk berhijrah ke Johor musim hadapan.
Walau bagaimanapun, kini akhbar-akhbar tempatan heboh mengatakan bahawa pemain kelahiran Besut itu membatalkan hajatnya demi menghormati kontrak yang masih berbaki setahun.. Pada pendapat kami di Laman PFKE.com, tidak salah jika Norshahrul ingin berhijrah tetapi beliau perlu bersikap lebih profesional dengan pihak pengurusan KAFA agar ia tidak menimbulkan sebarang masalah yang lebih serius. Berbalik pula dengan cerita pemain Kedah FA, pihak kami merasakan betapa Kelantan telah melakukan langkah yang terbaik sebenarnya memandangkan pasukan juara treble itu sememangnya memerlukan seorang penyerang yang mempunyai kualiti serta pengalaman yang tinggi di atas padang.
Masa depan Khyrilk Muhymeen sama ada terus kekal di Kedah atau akan berhijrah ke Kelantan pasti akan terjawab apabila Tan Sri Annuar Musa selamat tiba dari tanah suci Mekah nanti. Yang pasti, cubalah dapatkan Khyril!