Musim 2015 bakal menyaksikan kelibat seorang pemain pertahanan berkaliber serta berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah menyarung jersi The Red Warriors. Pemain yang berumur 33 tahun ini pernah dinobatkan sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan tahun 2011 yang pada ketika itu beliau mewakili pasukan Negeri Sembilan. Prestasi kurang konsisten skuad Negeri Sembilan telah menyaksikan Norhafiz Zamani Misbah ini seakan-akan hilang dari radar bolasepak Malaysia khususnya dalam kalangan media arena bolasepak tempatan.
Ternyata musim 2015 menjadi satu detik kebangkitan untuk bekas kapten kebangsaan yang sudah membuat penampilan kira-kira 80 kali bersama skuad Harimau Malaya. Pilihan beliau dilihat sebagai pilihan yang cukup tepat dalam memastikan dirinya mampu terus menyumbang kepada kerancakan bolasepak di Malaysia yang pada ketika ini semakin mendapat sokongan para penyokong setia pasukan masing-masing. Untuk rekod, beliau sudah melengkapkan penampilan ke-90 bersama Negeri Sembilan musim lalu.
Kini beliau bakal merasai suasana yang baru di samping rakan sepasukan baru seperti Pemain Paling Bernilai 2013 iaitu Badhri Radzi, Wan Zaharulnizam, Nik Shahrul Azim dan juga Ahmad Fakri Saarani. Kemasukan Norhafiz dilihat berupaya untuk menyelesaikan masalah kelonggaran di bahagian pertahanan The Red Warriors yang begitu pincang pada musim ini yang menyaksikan skuad The Red Warriors bolos 29 gol daripada 22 perlawanan Liga Super 2014. Jelas sekali ketiadaan pertahanan import kental, Obinna Nwaneiri memberi impak terhadap persembahan The Red Warriors musim ini di samping persembahan buruk daripada pertahanan Hussein Ala Salman yang tidak mempamerkan aksi yang sepatutnya ditunjukkan oleh seseorang pemain import.
Meniti usia 33 tahun, belum terlambat sebenarnya untuk Norhafiz menabur bakti bersama Kelantan memandangkan pemain ini masih memiliki keupayaan yang baik seperti mana pemain sezaman dengannya seperti Indraputra Mahayuddin, Amri Yahyah, Shukor Adan, dan juga Hairuddin Omar. Apa yang penting, para penyokong The Red Warriors perlu memberi sokongan serta keyakinan 100 peratus kepada barisan terbaru The Red Warriors musim 2015 yang dilihat berupaya mengembalikan kegemilangan bolasepak The Red Warriors untuk terus menjadi antara pasukan terbaik dalam arena bolasepak Malaysia.
Kepimpinan yang ada pada Norhafiz juga dilihat sebagai satu aset penting dalam 'mendidik' beberapa pemain pertahanan muda The Red Warriors seperti Nik Shahrul Azim dan Tuan Faim dalam memperkemaskan lagi corak persembahan yang lebih berdisiplin bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan yang lebih mencabar.
Kepimpinan yang ada pada Norhafiz juga dilihat sebagai satu aset penting dalam 'mendidik' beberapa pemain pertahanan muda The Red Warriors seperti Nik Shahrul Azim dan Tuan Faim dalam memperkemaskan lagi corak persembahan yang lebih berdisiplin bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan yang lebih mencabar.