Memaparkan catatan dengan label Stadium Sultan Muhammad keIV. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Stadium Sultan Muhammad keIV. Papar semua catatan

Ahad, 16 Januari 2011

Stadium The Red Warriors Kini Dibaiki.


HASRAT peminat ‘tegar’ The Red Warriors untuk menyaksikan pasukan mereka terus beraksi di Stadium Sultan Muhammed Ke IV, Kota Bharu menjadi kenyataan apabila stadium tersebut kini dalam proses pemulihan dan menaik taraf fasiliti.

Selain itu, masalah lampu limpah sebelum ini yang tidak memenuhi spesifikasi sehingga hampir menyebabkan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang juga sedang dalam proses baik pulih dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat ini.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim memberitahu, kerja-kerja menaik taraf dan pemulihan stadium terutama melibatkan padang sedang dilakukan dan mungkin akan siap dalam tempoh seminggu lagi.
Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Perbadanan Stadium mendapat kerjasama dari segi kepakaran memulihkan padang daripada dua kelab golf iaitu Kelab Golf dan Desa Kelantan dan Kelab Diraja Darulnaim.


“Setakat ini keadaan semakin baik dan cuaca juga menyebelahi kita. Kerja-kerja dilakukan secara berterusan untuk memastikan semua berada dalam keadaan baik.
“Buat masa ini kerja-kerja menebuk lubang untuk pengaliran udara sedang dijalankan dan kita akan menabur pasir sebelum kerja-kerja membaja dilakukan. Kita akan tunggu rumput tumbuh dan akan dipotong sebelum fasa terakhir meratakan padang dilakukan,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pekerja-pekerja yang terlibat sedang bertungkus lumus melakukan proses penambahbaikan termasuk kerja menanam semula rumput bagi memastikan stadium tersebut dapat digunakan pada perlawanan melibatkan pasukan Kelantan pada 1 Februari ini.

Katanya, selain daripada padang, kerja-kerja membaik pulih serta penambahbaikan lampu limpah stadium sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan tahap cahaya lampu menepati spesifikasi yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Insya Allah, dengan peruntukan yang diberikan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Perbadanan Stadium, kerja-kerja menaik taraf lampu sudah diluluskan dan statusnya adalah perlu dilakukan dengan segera dan kerja-kerja sedang dijalankan.

“Cuma masalah melibatkan kabel memerlukan masa yang lebih panjang, mungkin dalam dua atau tiga minggu. Namun, apa yang penting kita akan pastikan pencahayaan stadium mencapai tahap minimum 800 lux seperti kehendak FAM dan kemudiannya pihak stadium akan memastikan ia akan lebih baik iaitu melebihi 1000 lux,” ujarnya.

Khamis, 13 Januari 2011

Kelantan Bakal kehilangan kelayakan sebagai tuan rumah Liga Super 2011??


 Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.

Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.

Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.

Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.

"Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru," katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.
"Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011," katanya.

Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.

"Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.

"Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

Sabtu, 8 Januari 2011

Petang Atau Malam?

Kegagalan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV mengikut syarat 800 lux kecerahan bagi lampu limpah telah menimbulkan permasalahan kepada KAFA. Hal ini demikian kerana ia boleh menyebabkan mereka terpaksa menjalankan Kempen Liga M pada waktu petang.Namun begitu, waktu petang sememangnya tidak sesuai untuk para penyokong bolasepak terutama di Kelantan kerana ia bertindih dengan dengan waktu solat Asar di negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Kegagalan menyiapkan kesesuaian lampu limpah mungkin sebenarnya akan mencacatkan bolasepak di Kelantan amnya kerana sebelum ini gelanggang Red Warriors itu dikenali ramai sebagai 'The Malaysia Old Trafford'.Perlawanan yang diatur pada sebelah petang mungkin akan mendatangkan kesukaran kepada para Penyokong bolasepak di Kelantan kerana pada waktu itu juga bersamaan dengan waktu bekerja. Hal ini pasti membebankan para penyokong yang bekerja.

Apa yang pasti ialah kemungkinan kantung KAFA akan mengalami ancaman besar daripada situasi ini.Diharapkan agar Pihak KAFA mampu mengambil langkah secara drastik bagi menyelamatkan bolasepak kelantan daripada suram.

Menurut sumber yang dipercayai, KAFA dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah ini demi kemajuan bolasepak di Kelantan.
Mengulas mengenai masalah lampu limpah, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super pada 28 Januari ini.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh FAM, kita diarahkan bermain pada sebelah petang sahaja kerana tidak memenuhi syarat-syarat lampu limpah yang ditetapkan.
“Saya difahamkan, pihak kera- jaan negeri telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan ia sedang diusahakan sekarang,” katanya.



Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...