HASRAT peminat ‘tegar’ The Red Warriors untuk menyaksikan pasukan mereka terus beraksi di Stadium Sultan Muhammed Ke IV, Kota Bharu menjadi kenyataan apabila stadium tersebut kini dalam proses pemulihan dan menaik taraf fasiliti.
Selain itu, masalah lampu limpah sebelum ini yang tidak memenuhi spesifikasi sehingga hampir menyebabkan Kelantan terpaksa beraksi pada sebelah petang juga sedang dalam proses baik pulih dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat ini.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim memberitahu, kerja-kerja menaik taraf dan pemulihan stadium terutama melibatkan padang sedang dilakukan dan mungkin akan siap dalam tempoh seminggu lagi.
Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Perbadanan Stadium mendapat kerjasama dari segi kepakaran memulihkan padang daripada dua kelab golf iaitu Kelab Golf dan Desa Kelantan dan Kelab Diraja Darulnaim.
“Setakat ini keadaan semakin baik dan cuaca juga menyebelahi kita. Kerja-kerja dilakukan secara berterusan untuk memastikan semua berada dalam keadaan baik.
“Buat masa ini kerja-kerja menebuk lubang untuk pengaliran udara sedang dijalankan dan kita akan menabur pasir sebelum kerja-kerja membaja dilakukan. Kita akan tunggu rumput tumbuh dan akan dipotong sebelum fasa terakhir meratakan padang dilakukan,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pekerja-pekerja yang terlibat sedang bertungkus lumus melakukan proses penambahbaikan termasuk kerja menanam semula rumput bagi memastikan stadium tersebut dapat digunakan pada perlawanan melibatkan pasukan Kelantan pada 1 Februari ini.
Katanya, selain daripada padang, kerja-kerja membaik pulih serta penambahbaikan lampu limpah stadium sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan tahap cahaya lampu menepati spesifikasi yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Insya Allah, dengan peruntukan yang diberikan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Perbadanan Stadium, kerja-kerja menaik taraf lampu sudah diluluskan dan statusnya adalah perlu dilakukan dengan segera dan kerja-kerja sedang dijalankan.
“Cuma masalah melibatkan kabel memerlukan masa yang lebih panjang, mungkin dalam dua atau tiga minggu. Namun, apa yang penting kita akan pastikan pencahayaan stadium mencapai tahap minimum 800 lux seperti kehendak FAM dan kemudiannya pihak stadium akan memastikan ia akan lebih baik iaitu melebihi 1000 lux,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan