(Skuad Sang Penyu 2011)
Isyarat itu bukan setakat untuk mencipta kemenangan, tetapi lebih daripada itu.
Bola sepak melibatkan maruah dan imej negeri, jadi kejuaraan perlu dikecapi.
Jika tidak, mana mungkin Ahmad berani menjanjikan habuan lumayan kepada pemain-pemain Terengganu yang dipertanggungjawabkan menggalas cabaran negeri dari Pantai Timur itu.
Memang benar, Ahmad sentiasa memantau perkembangan pasukan Terengganu dari sudut yang lebih serius.
Dia mahu pasukan itu tampil dengan komitmen serta disiplin yang tinggi kerana ia jaminan untuk meraih kejayaan.
Ahmad sedar bahawa tanpa elemen tersebut, kejayaan tidak mampu dicapai.
Persoalannya, mampukah harapan itu direalisasikan oleh pemain?
Secara matematiknya, sudah 10 tahun Terengganu melalui kemarau.
Ia bermakna, sudah hampir 10 tahun juga rakyat Terengganu kempunan untuk melihat sekurang-kurangnya satu piala di arak di seluruh pelosok negeri itu.
Kali terakhir pesta bola sepak berlaku di negeri Terengganu adalah pada tahun 2001.
Ketika itu, skuad generasi emas dibarisi Sapian Wahid, Wan Rohaimi Wan Ismail dan Rosdi Talib dijulang megah selepas menewaskan Perak 2-1 di pentas final Piala Malaysia.
Sejak detik itu, gendang terus dipalu dan sorakan kian bersatu di setiap sudut stadium.
Namun penyudahnya, sang penyu tetap layu.
(Ashaari Shamsuddin antara tonggak penting Sang Penyu)
Sayang, revolusi yang cuba dibawa sejak 2001 itu untuk melihat Terengganu sekali lagi bergelar juara tidak kesampaian.
Selangor, kuasa No. 1 bola sepak Malaysia masih mendominasi carta.
Kelantan pula sudah mula mencipta nama.
Kini, menjelang aksi pembuka tirai Liga Super 2010 pada 29 Januari ini, seluruh kudrat pemain-pemain Terengganu dikerah mengikut percaturan jurulatih penuh pengalaman, Irfan Bakti.
Misi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan misi Irfan sendiri adalah untuk merealisasikan impian Menteri Besar.
"Tidak kira apa berlaku, kita perlu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini," tegas Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh.
"Saya tidak nampak satu pun kekurangan dalam pasukan ini kerana saya melihat semua pemain memiliki kredibiliti dan semangat untuk menang."
Bagi Irfan, agenda utamanya adalah untuk memburu piala Liga Super.
Baginya, prestij yang ada pada Liga Super begitu diimpikan oleh setiap jurulatih dan kejayaan memenangi saingan itu sudah cukup untuk membuktikan kekuatan yang ada pada skuad kendaliannya itu.
"Kalau boleh, kita mahu menang semuanya, tetapi kita perlu realisitik. Secara peribadi, saya begitu mengimpikan untuk memenangi gelaran Liga Super.
"Liga Super bukan setakat liga paling berprestij di negara ini, tetapi kejayaan muncul juara Liga Super merupakan satu kejayaan besar. Ia memerlukan konsistensi sepanjang musim dan memerlukan persiapan paling maksimum," jelasnya.
Tetapi uniknya, Irfan seperti tidak berminat untuk menyandarkan persiapan pasukan dengan hanya menumpukan kepada pemain bertaraf bintang sahaja.
Sebaliknya, bekas pengendali yang pernah menabur bakti bersama kelab Indonesia, Persipura Jayapura ini lebih suka menilai anak buahnya sebagai sebuah pasukan yang bergerak seiringan.
"Kita tidak perlukan pemain bintang kerana saya cukup yakin dengan kemampuan pemain yang ada. Ia telah dibuktikan apabila kami mampu menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu selain mara sehingga ke pusingan separuh akhir Piala FA," tambah Irfan.
Sebagai percaturan awal, Irfan telah mendapatkan khidmat sembilan pemain baru untuk saingan musim ini termasuk tiga bekas pemain T-Team iaitu Abdul Hadi Yahya, Ismail Faruqi Asharir dan Mohd. Shahril Sa'ari.
Turut dibawa masuk ialah bekas bintang tengah KL Plus kelahiran Sarawak, Reeshafiq Alwi dan dua pertahanan Pahang, Hasmizan Kamaroddin serta Nik Zul Aziz Nawawi.
"Semua pemain yang dibawa masuk musim ini adalah pemain-pemain yang saya rasa mampu memberi impak kepada pasukan," ujarnya.
(Kapten Terengganu,Marzuki Yusof merupakan pemain yang berpengalaman)
"Jujur saya katakan bahawa ini adalah antara skuad terbaik pernah saya peroleh. Kami mempunyai penjaga gol berpengalaman seperti Sharbinee Alawee, Marzuki sebagai pertahanan kental, Ashari yang bijak mengawal permainan serta Manaf yang mempunyai penyudah kemas," tambah Irfan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan