Khamis, 13 Januari 2011

Ranking Harimau Malaya dalam FIFA hanya naik 2 anak tangga.

Kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF 2010, tidak cukup untuk skuad bola sepak negara mencatat peningkatan mendadak, apabila hanya naik dua anak tangga dalam ranking terbaru FIFA yang dikeluarkan semalam.

Skuad bimbingan K. Rajagobal naik ke ranking 142 daripada kedudukan 144, bagi kedudukan Januari.
Peningkatan dua anak tangga itu hasil daripada kemenangan Malaysia ke atas Vietnam pada separuh akhir Piala Suzuki AFF, disusuli Indonesia pada perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Gelaran juara Asia Tenggara yang diraih buat pertama kali itu juga seakan-akan tidak memberi impak besar dalam kedudukan ranking kita di rantau ini, apabila masih gagal menghampiri kedudukan pasukan lain seperti Singapura (139), Vietnam (136), Indonesia (126) dan Thailand (119)

Ranking terbaru itu masih jauh daripada kedudukan terbaik yang pernah dicatatkan oleh skuad negara, iaitu pada tangga ke-75 dunia yang dicatatkan pada Ogos 1993.
Malah, ia juga tidaklah terlalu jauh daripada ranking terendah kita dalam kedudukan FIFA, iaitu tempat ke-170 dunia pada April 2008.

Sementara itu, juara dunia Sepanyol masih menerajui ranking No.1 FIFA dan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar mencatat peningkatan paling tinggi.

Sepanyol masih mengatasi pasukan yang dikalahkan pada perlawanan akhir Piala Dunia, Belanda, diikuti Brazil dan Argentina yang mengisi kedudukan teratas yang tidak berubah.
Pasukan tunggal dalam kelompok 30 teratas yang mencatat peningkatan hanya Croatia, yang naik ke tempat kesembilan, bertukar tempat dengan Mesir.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...