Khamis, 13 Januari 2011

Shahrul dan Fahmi Janjikan yang terbaik untuk Red Warriors Musim Ini.




DUA tonggak Kelantan, penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat tidak akan terbawa-bawa dengan sambutan dan ganjaran selepas kejayaan menjulang Piala AFF Suzuki, sebaliknya kembali memberi tumpuan kepada aksi Liga Malaysia.

Kedua-dua pemain yang menjadi antara tulang belakang kepada kejayaan skuad kebangsaan menjuarai piala berkenaan buat pertama kali sejak 1996, bersyukur dengan segala penghargaan diberikan rakyat dan kerajaan, tetapi mahu segera kembali meneruskan rutin sebagai pemain.



“Semua ini rezeki hasil kerja keras setiap pemain tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk berhenti berusaha,” kata Khairul Fahmi yang hanya dibolosi tiga kali sepanjang kempen Piala AFF lalu.
“Saya sudah kembali berlatih bersama Kelantan dan tumpuan kini adalah menjuarai perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah, 29 Januari ini. Saya yakin pertahanan Kelantan mampu menghalang asakan penyerang Selangor, Mohd Safee Sali yang muncul penjaring terbanyak Piala AFF.”

Bagi arkitek skuad kebangsaan, Norshahrul yang meledak dua gol dalam Piala AFF lalu, dia cuba memberikan persembahan terbaik untuk Kelantan pula musim ini. “Sebagai pemain, kita perlu terus memandang ke depan,” kata Norshahrul.

“Piala AFF sudah berlalu, jadi tumpuan kini diarah kepada kejohanan lain pula. Masih banyak yang perlu diharungi pemain dalam menaikkan mutu bola sepak negara. Jadi kita tidak boleh berpuas hati setakat kejayaan ini.”

Kini aksi mereka sekali lagi ditagih penyokong Kelantan yang mahu penyandang juara Piala Malaysia itu membuka tirai musim ini dengan menewaskan juara Liga Super, Selangor, 29 Januari nanti.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...