Jumaat, 28 Januari 2011

Datuk K Menghiasi Liga M Musim Ini.

[Jurulatih baru Red Warriors, Datuk M.Karathu bersalam serta berkenalan dengan pemain-pemainnya sambil diperhatikan B.Sathianathan pada seisi perkenalan serta latihan ringan bersama Skuad TRW]


Selepas menyepi selama setahun daripada kancah bola sepak tempatan, bekas jurulatih Perak musim 2008-2009, Datuk M. Karathu kembali mewarnai saingan Liga Malaysia dengan melatih juara Piala Malaysia musim lalu Kelantan.

Kembalinya Karathu ke pangkuan Kelantan diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah melatih skuad yang terkenal dengan laungan 'gomo kelate gomo' itu pada 1993.

Menurut Karathu, kesediaannya kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan dirinya selepas hampir 18 tahun meninggalkan pasukan tersebut.

"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutamanya Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.

"Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma KAFA, Kampung Chicha dekat sini, semalam.

Tambah Karathu, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.

"Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain berbakat. Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan," ujarnya yang mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan Kelantan.

Karathu sebelum ini berjaya membimbing skuad Seladang menjulang Piala FA pada 1990, selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Malaysia pada 1993.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka dan kelab Woodlands Wellington FC (Singapura).
Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sideek Samsuddin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

[M.Karathu sewaktu menjadi jurulatih Perak FA musim 2009]


"Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.

"Sasaran saya musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya yang memulakan tugas semalam.
Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini menentang Selangor, Karathu menanggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.

"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.

"Untuk itu, Saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetitif bermula Sabtu ini," katanya

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...