Rakan VVIP Laman PFKE.com

Berita Yang Masih Panas..

Gomo Kelate Gomo!

Sabtu, 3 Ogos 2013

Kemanakah Indra selepas ini? Diintai Johor Darul Takzim?


Indra Putra dikhabarkan akan terus menyarung jersi The Red Warriors musim hadapan.

Sudah pasti ramai penyokong bolasepak tanahair khususnya ribuan penyokong setia The Red Warriors ingin mengetahui hala tuju tonggak utama Kelantan ini yang begitu digemari sejak penglibatannya dalam skuad Pahlawan Merah itu sejak tahun 2009. Ternyata Indra telah banyak menyumbangkan jasa dalam membantu pasukan Kelantan bangkit untuk muncul sebagai kuasa baru bolasepak negara. 

Indra muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan dalam Final Piala Malaysia 2012.

Tidak dapat dinafikan bahawa Indra Putra bermula baik bersama Kelantan pada saingan Liga Super Malaysia 2009 apabila beliau berjaya meledakkan 14 gol daripada 21 penampilan Liga elit tersebut. Tidak cukup dengan itu, Indra turut menyumbangkan 4 gol dalam saingan Piala FA Malaysia 2009 yang seterusnya mengangkat Kelantan mara ke Final Piala FA buat kali pertama setelah sekian lamanya, namun, Kelantan tewas dalam penentuan penalti kepada Selangor FA.

Indra sewaktu selaku kapten TRW musim 2010
 Kecemerlangan Indra Putra pada musim pertamanya itu diteruskan lagi apabila beliau yang diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan pada ketika itu telah berjaya membawa The Red Warriors ke Final Piala Malaysia 2009, namun Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, kekecewaan Indra sedikit terubat apabila beliau dianugerahkan "Kasut Emas Piala Malaysia 2009" diatas kehebatan beliau sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia 2009 dengan meledakkan 11 gol dalam 10 penampilan.

Indra menjadi watak penting Kelantan
pada penampilan sulung Final Piala FA 2009.
Secara ringkasnya, pada musim 2009/2010, Indra Putra telah berjaya meledakkan kira-kira 42 gol daripada 40 penampilan bersama The Red Warriors manakala pada musim 2012 dan sehingga kini, Indra Putra membuktikan kehebatan luar biasa apabila berjaya menjaringkan 23 gol daripada 80 penampilan dalam pelbagai pertandingan sama ada Liga Super, Piala FA ataupun Piala AFC. Secara keseluruhannya, Indra putra telah menjaringkan 65 gol daripada 120 penampilan bersama The Red Warriors. 





Indra berjaya menarik perhatian JDT FC untuk mengisi
bahagian tengah.
Dikhabarkan Indra Putra akan mengakhiri kariernya bersama The Red Warriors kerana jiwanya kini sudah sebati dengan kemeriahan bolasepak di negeri Kelantan yang sudah pasti akan dikenang hingga ke akhir hayat. Begitu juga dengan penyokong Kelantan yang sudah pasti akan mengingati Indra Putra sebagai seorang pemain lagenda yang akan sentiasa disebut-sebut seiring dengan kejayaan The Red Warriors. Spekulasi khabar angin yang begitu kuat pada ketika ini memperkatakan betapa Johor Darul Takzim juga begitu berminat untuk mendapatkan khidmat Indra pada musim hadapan memandangkan pasukan Harimau Selatan itu mengalami kepincangan di bahagian tengah pasukan. Sekiranya ditawarkan gaji lumayan sehingga RM100,000 sebulan, apa-apa boleh jadi.

Berikut adalah Kejayaan Indra Putra sepanjang kariernya :

Malaysia (Skuad kebangsaan)
-Pingat Gangsa Sukan SEA 2003
-Tempat ke-4 Piala Tiger 2002

Perak FA
-Juara Piala Malaysia 2004

Pahang FA
-Juara Liga Super Malaysia 2004
-Juara Piala FA Malaysia 2005/2006

Selangor FA
-Naib Juara Piala FA Malaysia 2007/2008
-Naib Juara Piala Malaysia 2007/2008

Kelantan FA
-Naib Juara Piala FA Malaysia 2009
-Naib Juara Piala Malaysia 2009
-Juara Piala Malaysia 2010
-Juara Liga Super 2012
-Juara Piala FA Malaysia 2012
-Juara Piala Malaysia 2012
-Juara Piala FA Malaysia 2013
-Tempat ke-4 Liga Super Malaysia 2013

T-Team FA
-Tempat ke-3 Piala FA Malaysia 2011

Pencapaian Individu :
-Kasut Emas Liga Super Malaysia 2004
-Kasut Emas Piala Malaysia 2009

1 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

Harap indra akan trus brjuang bsama TRW.. Hdup indra

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...