Rabu, 31 Oktober 2012

Khyril Muhymeen Bakal Jadi Pengganti Matyo?



Sudah kira-kira 3 hari Laman PFKE.com sepi bukan kerana tidak punya info tetapi pihak kami sebenarnya tidak mahu terlalu menyebarkan tentang pemain yang bakal bersama The Red Warriors musim hadapan. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pihak yang cuba 'mengintip' perkembangan persiapan pasukan Kelantan melalui laman web dan juga facebook. 

Ia sudah pasti akan menganggu pihak pengurusan KAFA untuk menguruskan tentang pemain-pemain. Sebelum ini, sudah ramai pemain yang diramal akan bersama Kelantan FA musim hadapan sudah disapu bersih oleh sebuah persatuan bolasepak yang mempunyai dana yang cukup besar. Yang itu pihak kami tidak mahu perkatakan. Sebaliknya, post pada kali ini lebih berkisarkan tentang Khyril Muhymeen yang merupakan satu-satunya penyerang Kedah FA yang kini dikaitkan bakal menyarung jersi The Red Warriors musim hadapan. 


Tidak dapat dinafikan bahawa pemain yang berumur 29 tahun itu kini berada di puncak prestasi apabila kerap kali menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan Piala Malaysia musim ini meskipun beliau baru sahaja pulih dari kecederaan. Kelebihan beliau yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang menjadikan beliau antara pemain bolasepak yang cukup digeruni dalam arena bolasepak negara. Apa yang pasti, bakat pemain kelahiran Kedah ini mula terselah sewaktu beliau berjaya berada dalam kesebelasan Sang Kenari pada musim 2005/2006.

Namun begitu, kini episod baru bakal bermula dalam kariernya yang mana pada ketika ini dikatakan Khyril bakal berhijrah ke Kota Bharu bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh beberapa pemain Kelantan FA yang akan berhijrah dalam masa terdekat. Adakah beliau akan mengambil alih posisi Norshahrul Idlan Talaha? Itu tidak mustahil memandangkan Norshahrul yang pada ketika ini dikatakan berminat untuk berhijrah ke Johor musim hadapan. 

Walau bagaimanapun, kini akhbar-akhbar tempatan heboh mengatakan bahawa pemain kelahiran Besut itu membatalkan hajatnya demi menghormati kontrak yang masih berbaki setahun.. Pada pendapat kami di Laman PFKE.com, tidak salah jika Norshahrul ingin berhijrah tetapi beliau perlu bersikap lebih profesional dengan pihak pengurusan KAFA agar ia tidak menimbulkan sebarang masalah yang lebih serius. Berbalik pula dengan cerita pemain Kedah FA, pihak kami merasakan betapa Kelantan telah melakukan langkah yang terbaik sebenarnya memandangkan pasukan juara treble itu sememangnya memerlukan seorang penyerang yang mempunyai kualiti serta pengalaman yang tinggi di atas padang.

Masa depan Khyrilk Muhymeen sama ada terus kekal di Kedah atau akan berhijrah ke Kelantan pasti akan terjawab apabila Tan Sri Annuar Musa selamat tiba dari tanah suci Mekah nanti. Yang pasti, cubalah dapatkan Khyril!

Sabtu, 27 Oktober 2012

Lagi Berita Menarik Menanti Anda Nanti



Pihak Laman PFKE.com memohon maaf kerana blog tidak dapat diupdate buat sementara waktu disebabkan oleh masalah teknikal.. Walau bagaimanapun, banyak lagi berita yang terbaru diterima dan bakal dimuatkan ke blog ini pada pukul 10 pagi 27 Oktober 2012. Antaranya ialah mengenai masa depan pertahanan import Kelantan, Obinna Nwaneri dan kemasukan seorang pemain tempatan ke dalam skuad The Red Warriors. Segalanya hanya di sini, Laman PFKE.com pilihan tepat anda..

TERIMA KASIH..



Kesulitan Amat Dikesali

Jumaat, 26 Oktober 2012

Musim Perpindahan Liga Malaysia 2013 : Tiga Tonggak Utama The Red Warriors Berhijrah?

Kelantan FA Juara Era Piala Malaysia 2012.
Tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan Kelantan sebagai Juara treble musim 2012 telah mengangkat beberapa nama besar pemain The Red Warriors untuk diintai oleh beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim 2013 kelak. Baik dari bahagian pertahanan hinggalah ke bahagian serangan The Red Warriors kini mula mendapat perhatian ramai sehingga ada dalam kalangan pemain Kelantan mendapat tawaran untuk mewakili beberapa pasukan yang mula meningkat naik. Terbaru, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dikatakan sanggup membelanjakan kira-kira RM 5 juta untuk mendapatkan pemain yang tertaraf bintang bagi menguatkan barisan pasukan Johor FA. 


DAUDSU JAMALUDDIN
Dausu (kanan) kini dalam dilema.
Ketangkasan bekas pertahanan skuad kebangsaan, Daudsu Jamaluddin kini kembali menarik minat beberapa jurulatih pasukan dalam kancah Liga Malaysia. 

Apa yang pasti, corak permainan pemain yang berumur 27 tahun itu mirip corak permainan pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos yang sememangnya memiliki kebolehan untuk melakukan 'overlapping' yang begitu baik di samping kedua-dua pemain juga mampu bermain di pelbagai posisi pertahanan. 

Daudsu yang juga merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan juga berkata dia tidak mahu memikirkan perkara itu buat seketika sebaliknya beliau ingin berehat bersama keluarga selepas para pemain Kelantan diberi cuti selama sebulan oleh KAFA. 

Dausu (kiri) antara pertahanan terbaik dalam Liga Malaysia musim ini.


Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan bakal mempertimbangkan tawaran rasmi dari Johor FA. Jika Daudsu benar-benar ingin berhijrah bersama Johor FA, ini bermakna beliau akan kembali berkelana di sana setelah kali terakhir menyarung jersi pasukan yang juga dari selatan, Johor FC pada musim 2007/2008 lalu. Untuk rekod penampilan, beliau pernah beraksi 8 kali bersama Johor FC pada musim 2007/2008.


NURUL AZWAN ROYA

Azwan Roya (kanan) kini semakin mendapat perhatian banyak
kelab dari Liga Malaysia.


Kepantasan pemain sayap kiri The Red Warriors, Nurul Azwan Roya menjadikan setiap pemain pertahanan pihak lawan kadang kala tidak senang duduk. Meskipun saiz pemain ini agak kecil, namun, kepintaran beliau melakukan hantaran yang menyelirukan kerap kali menjadi senjata utama pemain yang lebih mesra dikenali dengan nama 'awe'. 

Tidak dapat dinafikan bahawa beliau turut diintai oleh Johor FA dan beliau dikatakan mendapat tawaran rasmi sebelum beliau membuat penampilan pada Final Piala Malaysia 2012 yang lalu. 

Azwan Roya (kanan) mempunyai larian yang cukup istimewa.


Bagaimanapun, Azwan Roya menegaskan beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu berpindah atau kekal bersama The Red Warriors. Beliau sedar bahawa kontrak beliau bersama The Red Warriors kini sudah menghampiri penghujungnya. 

Namun, pemain sayap kiri itu berkata, masih terlalu awal untuknya membuat keputusan dan akur perasaannya berbelah bagi sama ada menerima atau menolak tawaran itu. Bagi seseorang pemain, kepuasan dalam karier adalah lebih penting berbanding mendapatkan kemewahan yang pasti akan berakhir jua.


NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

Norshahrul meraikan jaringannya dalam Final Era
Piala Malaysia 2012 lalu.
Pemain Terbaik Final Era Piala Malaysia 2012, Norshahrul Idlan Talaha turut dikhabarkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab dari Liga tempatan. Antara yang berminat untuk mendapatkan beliau adalah Perak FA, Johor FA dan Terengganu FA. Namun begitu, The Red Warriors sudah pasti tidak akan membiarkan 'ayam tambatan'nya itu disambar oleh pasukan lain apatah lagi pada ketika ini prestasi pemain yang berumur 26 tahun itu sedang memuncak. 

Kejayaan Norshahrul meledakkan dua gol menarik dalam aksi Final Era Piala Malaysia 2012 lalu ternyata berjaya menutup mulut para pengkritik yang mendakwa beliau kini diambang kemerosotan karier. Pemain kelahiran Besut, Terengganu ini dikaitkan dengan Johor FA namun, sehingga hari ini belum terdapat tawaran rasmi yang dikemukakan oleh pihak Johor FA kepadanya. 

Norshahrul (kanan) dinobatkan sebagai Pemain Terbaik
Final Era Piala Malaysia 2012 lalu.


Menurut sumber yang boleh dipercayai, Norshahrul dijangka akan kekal menyarung jersi The Red Warriors untuk musim hadapan dan bakal menjadi sebahagian tonggak penting dalam misi mengekalkan kejuaraan pada musim ini.



Khamis, 25 Oktober 2012

Siapa Pilihan Afiq Azmi? Kelantan FA atau Selangor FA?



Persoalan tentang masa depan penyerang pinjaman The Red Warriors pada kancah Piala Malaysia 2012, Afiq Azmi akhirnya terjawab apabila beliau dijangka tidak akan ditawar kontrak kekal bersama Juara Piala Malaysia 2012 itu.

 Malahan, penyerang tinggi lampai kelahiran Perlis itu juga kini dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga tempatan termasuklah dari Selangor FA dan juga Kedah FA. Namun begitu, The Red Giants dilihat lebih berminat untuk mendapatkan penyerang muda yang berumur 23 tahun itu berdasarkan prestasi cemerlang Afiq pada saingan Piala Malaysia lalu sambil beberapa pihak menyifatkan betapa Afiq Azmi mempunyai potensi yang cerah untuk bergelar penyerang prolifik terbaik pada masa hadapan.



Jika dilihat pada kaca mata para penyokong fanatik The Red Warriors, sudah pasti mereka inginkan Afiq Azmi kekal untuk menyarung jersi The Red Warriors kerana kepintaran pemain tersebut menyumbangkan jaringan dalam saingan Piala Malaysia seterusnya bersama-sama rakan lain menjulang Kelantan sebagai Juara baru Piala Malaysia untuk edisi 2012.

Paling menarik, beliau adalah satu-satunya penyerang muda yang cukup bertuah kerana diberi peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa sewaktu The Red Warriors menentang Kelab Iraq, Arbil FC dalam kancah Piala AFC. Meskipun beliau gagal menterjemahkan beberapa gerakan kepada jaringan, namun, pengalaman tersebut sudah pasti cukup berharga untuknya bagi mematangkan lagi corak permainan dalam karier. Persoalan kini adalah sama ada Afiq menerima kontrak daripada Selangor FA atau beliau akan kembali bersama pasukan asalnya, Kuala Lumpur FA yang pada musim hadapan akan beraksi dalam saingan Liga Premier.


Rabu, 24 Oktober 2012

Masa Depan Ghaddar Jadi Tanda Tanya, Forkey Doe Mungkin Bersama The Red Warriors


Kancah Liga Malaysia 2012 kini sudah melabuhkan tirainya dengan Kelantan dinobatkan sebagai Juara treble apabila mereka berjaya membawa pulang Piala Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia ke Kota Bharu. Malah, kejayaan itu dilihat memberi petanda awal bahawa pasukan Kelantan optimis untuk menjadi kuasa besar baru dalam arena bolasepak Malaysia.

Namun begitu, sudah pasti persoalan mula timbul dalam kalangan para penyokong setia The Red Warriors sama ada Kelantan mampu atau sebaliknya untuk mengekalkan pasukan yang sedia ada memandangkan pada ketika ini sedang hangat berlakunya perhijrahan beberapa pemain ke kelab baru. Bagi penyokong yang benar-benar mengikuti perkembangan pasukan bolasepak Kelantan, mereka sudah pasti tertanya-tanya tentang masa depan penyerang import The Red Warriors dari Lebanon, Muhamad Ghaddar yang kini dilihat mula menambat hati ribuan penyokong Pahlawan Merah itu.

Jika dilihat pada prestasi Ghaddar, beliau telah menjaringkan 8 gol untuk The Red Warriors daripada 7 penampilannya dalam saingan Piala AFC dan menyumbangkan 9 gol dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini. 



Kawalan bola yang kemas di samping memiliki kebolehan untuk menggunakan kedua-dua kaki melakukan rembatan telah menjadikan Muhamad Ghaddar antara penyerang import terbaik yang pernah Kelantan miliki setakat ini. 

Dikhabarkan bahawa kontrak beliau masih lagi berbaki setahun namun, The Red Warriors dikatakan bakal membawa masuk beberapa muka baru untuk memberi sengat di bahagian serangan.


 Antara pemain yang dikaitkan adalah penyerang import Terengganu FA, Francis Forkey Doe yang dilihat cukup cemerlang beraksi bersama Sang Penyu dengan beliau diangkat sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super Malaysia Musim ini dengan menjaringkan 14 gol. 



Khabar angin ini dilihat seolah-olah akan menjadi kenyatan memandangkan posisi Forkey Doe musim hadapan bakal diambil alih oleh Penjaring Terbanyak Liga Super, Emmanuel Effa Owonna yang dijangka menandatangani kontrak bersama Sang Penyu musim hadapan.

Selasa, 23 Oktober 2012

S. Chanturu Sah Meninggalkan The Red Warriors Musim Depan

Chanturu kini sudah menjadi milik Perak FA

Penyerang The Red Warriors, S. Chanturu kini bakal meninggalkan pasukan Juara Treble itu pada musim baru 2013 yang akan datang setelah beliau yang sudah hampir dua musim bersama The Red Warriors. 


Pemain yang terkenal dengan kepantasan membuat larian ini dikatakan bakal menyarung jersi pasukan Perak FA dan kini sudah sah untuk beraksi pada musim hadapan. Ini bermakna kejuaraan The Red Warriors pada perlawanan Final Piala Malaysia minggu lalu merupakan titik-titik akhir buat Chanturu yang dilihat agak bergelut dalam skuad The Red Warriors musim ini akibat masalah kecederaan.

Sudah pasti penghijrahan Chanturu bersama Perak FA bakal membuka lembaran baru kepada pemain kelahiran Pulau Pinang yang berumur 24 tahun itu. 
Jika dilihat pada statistik perlawanan musim ini, Chanturu hanya membuat penampilan sebanyak 13 kali sepanjang musim ini berikutan masalah kecederaan yang kerap kali menghantui pemain ini. 

Afiq Azmi kemungkinan besar bakal terus kekal musim depan


Walau bagaimanapun, Kelantan dijangka tidak akan menghadapi sebarang masalah dengan penghijrahan Chanturu memandangkan skuad Juara Era Piala Malaysia 2012 itu kini dikatakan bakal mendapatkan khidmat penyerang tinggi lampai dari Kuala Lumpur FA, Afiq Azmi yang dilihat cukup serasi dan mempamerkan aksi terbaik pada kancah Era Piala Malaysia yang melabuhkan tirai minggu lalu.

Ahad, 21 Oktober 2012

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012


KELANTAN F.A  [3] - [2]  ATM F.A

Norshahrul Idlan Talaha minit ke-43 dan minit ke-49
Rezal Zambery Yahya minit ke-48
Marlon Alex James minit ke-61
Indra Putra Mahyuddin minit ke-96





Ahad, 1 Julai 2012

Matyo Perlu Bangkit Jika Ingin Pertahankan SuperMokh

Norshahrul Idlan Talaha sewaktu menerima anugerah
Supermokh musim 2011/2012.

Seandainya dilihat pada prestasi semasa penyerang prolifik The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha jelas sekali amat-amat membimbangkan baik kem Kelantan mahupun penyokong setia mereka yang sudah sekian lama menanti kebangkitan pemyerang kelahiran Besut itu. Ternyata masalah kecederaan yang dialami oleh Norshahrul memberi kesan yang begitu besar sehingga menganggu rentak persembahan beliau di atas padang. Walau bagaimanapun, Norshahrul kini dilihat cukup gigih untuk kembali memastikan kecergasan beliau berada pada tahap yang lebih baik. Sudah pasti kehebatan seseorang penyerang akan dinilai berdasarkan jumlah jaringan yang mampu disumbangkan kepada sesebuah pasukan.

Norshahrul Idlan Talaha kini masih gagal meledakkan gol
dalam beberapa perlawanan penting bersama The Red Warriors.


Norshahrul Idlan Talaha sepatutnya bersyukur kerana Jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak masih lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk bermain dalam kesebelasan utama pada setiap kali The Red Warriors beraksi. Terbaru, Kemenangan tipis Kelantan keatas Selangor tempoh hari jelas sekali menampakkan kebuntuan Norshahrul Idlan melakukan penyudah dengan baik meskipun dihidangkan dengan beberapa peluang yang baik. Walau bagaimanapun, para penyokong setia The Red Warriors percaya bahawa pemain yang dikenali dengan nama samaran "Matyo" itu mampu bangkit daripada prestasi suramnya itu dan sekaligus beliau mempertahankan status beliau selaku "Pemain Paling Bernilai" dalam arena bolasepak Malaysia. 

Ghaddar dan Norshahrul antara gandingan yang mampu
memberi ancaman kepada mana-mana pasukan dalam kancah Liga M musim ini.


Apa yang perlu dilakukan oleh matyo ialah beliau perlu membentuk persefahaman yang baik dengan gandingan pemain import dari Lubnan, Muhamad Ghaddar agar jentera serangan The Red Warriors dapat berfungsi dengan baik. 

Sabtu, 12 Mei 2012

Piya Penentu Kejayaan The Red Warriors Musim Ini

Badri Radzi merupakan antara tonggak penting serta
tulang belakang dalam skuad The Red Warriors musim ini.

Jika musim lalu Kapten pasukan The Red Warriors, Badri Radzi antara individu yang bertanggungjawab membawa pulang beberapa trofi kejuaraan ke negeri Kelantan, kini musim 2012 menyaksikan beliau masih lagi diperlukan oleh skuad Sang Kijang dalam memastikan pasukan Gergasi Pantai Timur itu mampu memberikan saingan dalam beberapa kejohanan utama seperti Liga Super, Piala FA, Piala AFC, dan Piala Malaysia. Meskipun gagal mengulangi kejayaan musim lalu dengan membawa pulang Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah ke Kota Bharu, namun azam yang jitu ditunjukkan oleh Badri dan rakan sepasukan dalam saingan Liga Super mula meyakinkan para penyokong setia The Red Warriors walaupun mereka harus berputih mata di tangan Negeri Sembilan pada perebutan Piala Sumbangsih awal musim ini.

Piya pasti tidak ingin kecewa lagi dalam Final Piala FA kali ini.
Credit Picture : Mark Deen

Jika dinilai prestasi kapten The Red Warriors itu pada beberapa perlawanan terakhir, ternyata sentuhan 'ajaib' Piya masih lagi berbisa sehingga menyaksikan The Red Warriors kini layak ke Pusingan Kalah Mati Piala AFC dan berkemungkinan besar bakal menyaksikan Kelantan melayan kunjungan Sang Peteh ke Kota Bharu. Tidak cukup dengan itu, kecemerlangan Piya memimpin barisan The Red Warriors seharusnya diberi pujian kerana Kelantan kini berada di tangga tiga pasukan terbaik dalam saingan Liga Super Malaysia setakat ini dan berkelebihan beberapa perlawanan. Apa yang pasti, kepimpinan yang dimiliki oleh Piya semakin terserlah apabila beliau dan rakan-rakan berjaya melangkah ke Final Piala FA musim ini dan fokus pasti terarah untuk membawa pulang trofi yang satu-satunya tidak pernah dijulang sepanjang penubuhan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Azlan Ismail (Kiri) kini sudah pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan
dan dijangka bakal bergandingan dengan Norshahrul pada malam ini.
Credit Picture : Yusran Yusof

Menjelang aksi bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk bertemu dengan pasukan PKNS Selangor FC, Kelantan pastinya diramalkan mempunyai persediaan yang cukup sama ada dari segi mental dan juga fizikal memandangkan beberapa pemain seperti Azlan Ismail kini sudah pulih dari kecederaan. Kreativiti Piya sudah semestinya ditagih oleh The Red Warriors pada malam ini dalam memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka selain mereka mampu mencerahkan peluang untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenangi musim lalu.


GOMO KELATE GOMO... PAKAT SERBU STADIUM BANDARAYA PETALING JAYA MALAM INI!!

Jumaat, 11 Mei 2012

Ghaddar Perlu Berubah, Rakan Lain Perlu Fokus.

Ghaddar kini dilihat sering bermain bola secara individu sahaja.
Credit Picture : Mark Deen

Setelah membantu The Red Warriors beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan utama seperti saingan Liga Super Malaysia 2012 serta Piala AFC, Mohamed Ghaddar atau lebih dikenali dengan 'Ghaddar' dalam kalangan penyokong fanatik The Red Warriors kini mula menampakkan sikap yang kurang disenangi oleh para penyokong setianya sendiri. Sejak akhir-akhir ini, pemain import prolifik The Red Warriors ini lebih gemar bermain bola secara 'individual' sehingga menyebabkan rakan-rakannya kadang-kadang kurang senang dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemain yang berjersi 22 itu.

Ghaddar perlu lebih bersikap terbuka dan pupuk semangat bermain
dalam satu pasukan, bukannya mementingkan populariti secara individu.
Credit Picture : Yusran Yusof

Malah, Jurulatih The Red Warriors turut mengakui situasi tersebut dan dikatakan Bojan Hodak telahpun memberi peringatan kepada Ghaddar yang merupakan antara penjaring terbanyak dalam saingan Piala AFC setakat ini. Walaupun pelbagai alasan yang diberikan oleh Ghaddar termasuklah kegagalan beliau berkomunikasi dengan baik bersama rakan-rakan di atas padang, namun, Bojak Hodak pastinya tidak mahu lagi melihat pemainnya itu mengulangi sikap yang mementingkan diri sendiri sebaliknya Bojan mengharapkan pemain-pemain lain juga turut menjadikan peringatan tersebut sebagai nasihat yang berguna.

Semua pemain The Red Warriors perlu bekerjasama dan melupakan
segala masalah apabila beraksi di hadapan penyokong setia mereka.
Credit Picture : Yusran Yusof

Menurut Bojan Hodak, Ghaddar merupakan seorang pemain yang cukup berkualiti dan mempunyai naluri yang cukup lengkap sebagai seorang penyerang namun semua itu pasti tidak akan bermakna seandainya Ghaddar bersikap besar kepala di atas padang. Diharap pada perlawanan yang akan datang, semua pemain The Red Warriors beraksi dengan semangat yang padu sambil menitikberatkan nilai bekerja dalam satu pasukan agar kejayaan menjadi milik kita semua.

GOMO KELATE GOMO!!! PIALA FA 2012 MILIK KITO!

Selasa, 7 Februari 2012

The Red Warriors Buru Lebih Ramai Import?

Miguel Isidro De Pina Tavares antara calon-calon pemain yang
akan menguatkan barisan The Red Warriors andaian Trialnya berjaya.


Setelah menemui kegagalan dalam mencari pemain import yang sesuai, The Red Warriors meneruskan usaha untuk mengesan bakat-bakat terpendam dari luar negara hingga ke Portugal dan Sepanyol. Hasil daripada pemantauan dan laporan, The Red Warriors ternyata tertarik dengan seorang pemain berbangsa Portugal yang merupakan pemain penyerang yang cukup digeruni dalam kancah Liga Portugal. Ketajaman penyudah di samping skill yang cukup mantap menjadikan pemain ini antara pemain yang cukup sempurna serta sesuai untuk dijadikan oleh KAFA sebagai calon untuk trial bersama The Red Warriors kelak.

Biodata Miguel Isidro De Pina Tavares
Nama Penuh : Miguel Tavares Veiga De Pina
Tarikh Lahir : 26 Februari 1981
Asal : Portugal
Ketinggian : 1.87 m
Posisi : Penyerang
Pengalaman : Red Star FC (2009-2010), Gloria Bistrita (2010)
Status Sekarang : Free Agent


Diego Leon merupakan antara pemain yang lahir
daripada produk kelab tersohor dunia, Real Madrid CF.


Tidak cukup dengan memantau perkembangan Miguel dari Portugal, KAFA turut mengorak langkah dengan bertukar angin ke negara Juara Piala Dunia 2010 iaitu Sepanyol. Hasil scouting yang dibuat menyaksikan terkesannya sebutir lagi permata yang dilihat mampu menyinar dan berpotensi untuk diuji bersama The Red Warriors iaitu pemain yang berumur 29 tahun iaitu Diego Leon. Pemain ini merupakan antara produk keluaran  kelab elit Sepanyol yang juga dikenali dengan gelaran 'The Galaticos' dalam kalangan penggemar bolasepak dunia. 

Pemain ini bertuah apabila memulakan kariernya seawal tahun 2004 bersama pasukan Real Madrid B sebelum diserap ke pasukan utama Real Madrid pada tahun 2005 hingga tahun 2006. Selepas itu, perjalanan karier Diego terus berkembang sehinggalah beliau merantau ke beberapa negara Eropah lain. Seandainya pasti Diego Leon akan beraksi bersama Kelantan, ini bermakna buat pertama kalinya Diego menjejakkan kakinya di Asia Tenggara khususnya di bumi Che Siti Wan Kembang.



Biodata Diego Leon
Nama Penuh : Diego Leon Ayarza
Tarikh Lahir : 16 Januari 1984
Asal : Palencia, Sepanyol.
Ketinggian : 1.70 m
Posisi : Pemain Tengah/ Midfielder
Kepakaran : Pakar Sepakan Percuma
Status Terkini : Masih mewakili Kelab Nea Salamina
Pengalaman : Real Madrid (2004-2006), Arminia Bielefeld (2005-2006)[Secara Pinjaman], Grasshopper (2006-2007), Barnsley (2008-2009), Las palmas (2009-2010), Wacker Burghausen (2010-2011), Nea Salamina (2011)

Pengalaman Bersama Skuad Kebangsaan : Sepanyol Bawah-16 (2000-2001), Sepanyol Bawah-17 (2001)

Liga Super Malaysia 2012 : 8 Februari 2012



 
KUALA LUMPUR VS KEDAH FA
Stadium KLFA, Kuala Lumpur.
4.45 petang



TERENGGANU VS PKNS FC
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, K.Terengganu.
4.45 petang



SABAH FA VS KELANTAN FA
Stadium Likas, Kota Kinabalu.
8.15 malam



SELANGOR VS SINGAPORE LIONSXII
Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
8.45 malam



NEGERI SEMBILAN VS T-TEAM
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
8.45 malam



PERAK FA VS SARAWAK FA
Stadium Ipoh, Perak.
8.45 malam



JOHOR FC VS FELDA UNITED
Stadium J-Corp Pasir Gudang, Johor Bahru.
8.45 malam

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...