Rabu, 2 Mac 2011

KEBANGKITAN The Red Warriors!! RUSA mangsa AWAL?

PERLAWANAN LIGA SUPER KE ENAM(1 MAC 2011)
                                        KELANTAN            3---------0           NEGERI SEMBILAN

Kelantan akhirnya boleh menarik nafas lega buat seketika apabila TRW berjaya membelasah Juara Piala FA tahun lalu, Negeri Sembilan dengan jaringan 3 gol tanpa balas. Kejayaan ini mengukuhkan Kelantan di tangga pertama Liga Super setelah mengharungi 6 perlawanan.

Stadium Sultan Muhammad ke4 dipenuhi oleh kira-kira 30,000 penyokong setia The Red Warriors dengan berlatarbelakangkan warna merah sehingga lautan merah itu 'menenggelamkan' para pemain Negeri Sembilan di atas padang. Jelas sekali sokongan para penyokong Kelantan sangat memberangsangkan sehingga ada yang sanggup duduk berlantaikan rumput.

Babak pertama berlangsung dengan cukup sengit dan jelas sekali pasukan Negeri Sembilan terlebih dahulu melakukan gerakan menyerang sehingga sering kali mencemaskan barisan pertahanan The Red Warriors yang diketuai oleh S.Subramaniam. Kelincahan Hairuddin Omar kerap kali berjaya memperdaya barisan pertahanan TRW namun pemain TRW bertindak cepat menutup ruang.

Kapten The Red Warriors agak kurang menjadi pada babak pertama apabila beliau kerap kali melakukan kesilapan semasa menghantar bola kepada rakan. Norshahrul dan ramzul pula agak berhati-hati pada babak pertama setelah kerap kali berada dalam kedudukan offside.

Penguasaan bola pada masa pertama jelas sekali menjadi milik negeri sembilan dengan beberapa aksi berbahaya di depan pintu gol Kelantan yang sering memaksa penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan badan.

Namun, separuh masa kedua mengubah segalanya apabila S.Chanturu meledak gol pertama tuan rumah dengan satu tandukan cantik setelah menerima umpanan daripada rakan. Gol itu menaikkan semangat pemain dan penyokong The Red Warriors yang sebelum ini agak tertekan dengan aksi hambar separuh masa pertama.

Beberapa pemain Negeri Sembilan pula dicemari dengan kad kuning serta beberapa insiden kekasaran.
Kelantan terpaksa mengeluarkan ramzul dan memasukkan Khalid jamlus untuk meneruskan asakan.

Pada minit ke67, Norshahrul muncul wira apabila meledak gol kedua The Red Warriors dengan melakukan satu rembatan yang mudah terus menerjah jaring Negeri Sembilan yang dikawal oleh Farizal Marlias.

Kemudian, Kelantan melakukan pertukaran dengan memasukkan danial fadly untuk menggantikan Azwan Roya.

Jelas sekali percaturan melalai pertukaran pemain berhasil menambahkan jaringan gol The Red Warriors.
Selepas itu, pada minit ke78, Norshahrul sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga Kelantan serta gol keenam peribadinya musim ini. Gol kedua Mat Yo dalam perlawanan ini jelas sekali mendapat pujian hebat daripada ribuan penyokong setia TRW.

Akhirnya pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat dan Kelantan berjaya mengekalkan rekod kebal di gelanggang sendiri..

TAHNIAH TRW!!SYABAS KAFA DAN PARA PENYOKONG!!

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...