Rabu, 15 Jun 2011

Kelantan Atasi Perak, Sebelah Tangan Menggengam Trofi Liga Super



Satu gol sudah memadai buat The Red Warriors pada perlawanan dengan Perak semalam untuk memastikan Kelantan terus memungut tiga mata penting dalam dua baki terakhir Liga Super musim ini. Kemenangan itu sedikit sebanyak memulihkan moral pasukan Kelantan yang dilihat agak suram sejak kekalahan pada pentas Final Piala FA lalu. Ternyata Kelantan kini sudah menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Kelantan dan seandainya status gelaran Juara Liga menjadi milik Kelantan, luka pada Final Piala FA pastinya terubat.

Perlawanan malam tadi disaksikan oleh kira-kira 15,000 penyokong setia The Red Warriors yang sememangnya menantikan pertembungan pasukan kesayangannya dengan musuh tradisi, Perak. Walaupun Kelantan tidak mampu merobek sepertimana yang dilakukan Perak di Ipoh,namun begitu, Kelantan sebenarnya turun hanya untuk mendapatkan tiga mata mutlak. 

Piya banyak mencipta peluang terbaik untuk Kelantan.

Daudsu antara watak utama yang menjadi pemangkin kepada kejayaan The Red Warriors pada malam semalam. Beliau kerap kali mencipta peluang-peluang terbaik untuk rakan-rakan dan hasil gerakannya membolehkan Norshahrul Idlan merobek gawang Perak pada minit ke-52 perlawanan.

Kelantan agak bernasib baik apabila beberapa pemain utama Perak mengalami kecederaan dan pengantungan. Antaranya ialah penyerang utama Perak, Shafiq Jamal. Akmal Rizal pula tidak mampu beraksi untuk tempoh yang lama apabila pemain itu mengalami kecederaan pada minit ke-25 perlawanan. Segala serangan yang direncanakan Perak selepas itu seakan-akan tidak menjadi dan akhirnya mereka pulang berputih mata.

Penyokong Kelantan pada mulanya agak terkilan apabila Norshahrul gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke20 setelah rembatannya yang lemah mudah dibaca oleh penjaga gol Perak, Nasril Noordin. Percubaan Azwan Roya dan Izuan Salahudin juga turut mengecewakan apabila kedua-dua pemain gagal merembat bola dengan padu. Mungkin juga faktor keletihan yang dialami semasa Final Piala FA masih belum hilang dalam kalangan pemain Kelantan.

Di posisi penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail dilihat agak tenang memikul tanggungjawab selaku penjaga gol selepas Khairul Fahmi Che Mat dipanggil oleh skuad bolasepak kebangsaan. Ternyata meskipun sudah menjangkau usia 31 tahun, Shahrizan masih lagi cemerlang apabila beliau diberi peluang untuk beraksi dan buktinya beliau masih lagi kebal sepanjang 3 perlawanan yang disertainya musim ini.

Apa-apa pun, Kelantan perlu bersiap sedia dari sekarang agar pertemuan dengan Sabah di Likas pada perlawanan terakhir Liga Super bakal berakhir dengan nota kemenangan buat Kelantan..
Gomo Kelate Gomo!! 


2 ulasan:

wira merah berkata...

Tinggal satu perlawanan lagi...TRW pasti juara liga musim ini...

Firz Putra berkata...

InsyaAllah...Semoga Kita berjaya!

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...