KUALA TERENGGANU – Anggota polis akan ditempatkan di beberapa laluan di sini yang dianggap panas untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini menjelang final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berkata, antara laluan yang dianggap panas itu adalah Plaza Tol Bentong yang merupakan lokasi pertemuan antara penyokong pasukan Terengganu dan Kelantan.
“Ketua Polis Daerah Bentong telah diarahkan untuk menugaskan anggota mereka di beberapa laluan yang dianggap panas menjelang final Piala FA antara pasukan bola sepak Kelantan dan Terengganu,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, kata Salleh, polis tidak menolak kemungkinan akan menambah anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang akan bertugas menjaga keselamatan awam pada final Piala FA tersebut.
Menurutnya, setakat ini seramai 2,430 anggota dan pegawai polis serta 400 anggota Rela akan ditugaskan menjaga keselamatan pada pertandingan tersebut dan berharap tiada pihak membawa budaya samseng semasa perlawanan berkenaan.
Menurutnya, polis juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan terjamin sepanjang perlawanan berlangsung. – mynewshub.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan