PREVIEW LIGA SUPER 2011
28 Mei 2011
Kelantan Lawan Pahang
Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV,Kota Bharu, Kelantan.
Malam ini bakal berlangsung satu lagi aksi di Kota Bharu namun lawan Kelantan kali ini ialah pasukan Pahang yang sebelum ini dibelasah oleh Terengganu 5-0 di Kuala Terengganu. Di kem Kelantan pula menyaksikan Kelantan terpaksa menelan kepahitan apabila rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri berjaya dipadamkan oleh musuh tradisi, Terengganu T-Team 2-1 di Kota Bharu. Oleh itu, perlawanan pada malam ini semestinya akan disajikan dengan persembahan menarik dua pasukan jiran pantai timur ini.
Hanya kemenangan mampu menghidupkan kembali
harapan Kelantan untuk menjulang Liga Super musim ini.
Jika dilihat pada rekod pertemuan sebelum ini, Kelantan dilihat antara pilihan yang mampu mencatat kemenangan namun, dalam bolasepak, apa-apa pun boleh berlaku seandainya para pemain lalai mempertahankan gawang mereka daripada dibocori lawan.
Kelantan telah ditewaskan oleh Pahang 2-0 pada
pertemuan pertama mereka musim ini.
Rekod Pertemuan Kelantan-Pahang Sejak 2009 :
17 Februari 2009 Pahang 1-5 Kelantan
4 Julai 2009 Kelantan 3-2 Pahang
4 Mei 2010 Kelantan 2-1 Pahang
8 Mei 2010 Pahang 3-3 Kelantan
12 Mac 2011 Pahang 2-0 Kelantan
Ketiadaan Daudsu di bahagian pertahanan sememangnya
bakal mengundang padah kepada kem Kelantan.
Daudsu mungkin kembali diturunkan setelah beliau tidak beraksi pada pertemuan dengan T-Team sebelum ini. Ternyata ketiadaan beliau dalam pasukan Kelantan sedikit merencatkan prestasi skuad Kelantan yang sebelum ini agak baik di posisi pertahanan.
Menyedari kelibat R.Surendran, Munir Amran dan Azamuddin Akil bakal merencana serangan Pahang pada malam ini, pasukan Kelantan terutama di posisi pertahanan yang dikemudi oleh Rizal Fahmi perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal agar kekalahan sebelum ini tidak berulang lagi.
R.Surendran antara penyerang yang cukup disegani
dan mempunyai skill yang tinggi pernah bersama Pahang.
Kelantan pula masih menaruh harapan kepada penggempur utama, Norshahrul Idlan Talaha untuk merobek gawang Pahang pada malam ini. Namun begitu, ada yang beranggapan sebaiknya Norshahrul digandingkan dengan Khalid Jamlus memandangkan kedua-dua pemain itu mempunyai persefahaman yang cukup utuh sepertimana yang ditunjukkan pada Piala FA separuh akhir.
Para Penyokong The Red Warriors berharap Norshahrul
mampu menemui sentuhan magiknya sekaligus membantu
Kelantan mencatat kemenangan keatas Pahang.
Apa-apa pun, bersamalah kita berdoa semoga pasukan Kelantan berjaya mencatatkan kemenangan keatas Pahang pada malam ini walaupun dengan kemenangan satu gol. Semoga para pemain Kelantan mempamerkan aksi terpuji dan tidak sesekali mudah menyerah kalah dalam 'pertempuran' penting ini.
Gomo Kelate Gomo!! Kelate Hebat Sokmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan