Jumaat, 15 April 2011

Aksi Dua Gergasi Bolasepak Malaysia Jadi Tumpuan Sabtu Ini





Liga Super Sabtu ini bakal terarah ke Shah Alam yang akan menemukan dua pasukan gergasi, Selangor dan Perak. Ianya pasti menjadi tumpuan peminat untuk menilai kehebatan kedua-dua pasukan dalam perebutan kejuaraan musim ini tetapi tonggak Selangor, Hardi Jaafar tidak mahu rakan sepasukan terlalu memikirkan perkara itu.

Menurut Hardi, perjalanan untuk penentuan siapa yang layak bergelar juara Liga Super masih jauh dan apa yang lebih penting ialah pemain Selangor perlu fokus dan terus berusaha mencipta kemenangan dan mempertahankan kedudukan teratas liga yang kembali menjadi milik mereka selepas kejayaan menewaskan FELDA United 1-0, Selasa lalu.

“Perak pastinya teruja selepas kejayaan menewaskan Kelantan 4-0 dan saya harap pemain Selangor juga lebih bersemangat selepas kebangkitan yang ditunjukkan ketika menewaskan FELDA United,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selangor bangkit daripada kekalahan 3-0 kepada T-Team Sabtu lalu untuk mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas FELDA United Selasa lalu, walaupun membariskan skuad kedua.

Hardi tidak beraksi pada perlawanan itu kerana mengalami kecederaan buku lali kiri ketika menentang T-Team tetapi dia dijangka sempat pulih untuk berdepan Perak di Stadium Shah Alam, malam esok.

Kapten pasukan, Amri Yahyah dan P Gunalan juga tidak beraksi akibat menjalani penggantungan tetapi kedua-duanya dijangka diturunkan jurulatih K Devan esok.

Hardi berkata, dia merasakan kecederaan dialaminya semakin pulih tetapi terpulang kepada jurulatih dan keputusan ujian kecergasan hari ini sebelum boleh diturunkan.
“Jika dapat bermain, saya akan berusaha menampilkan prestasi terbaik untuk membantu Selangor terus mencatatkan kemenangan dan mengekalkan kedudukan di persada liga,” katanya.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...