Jumaat, 15 April 2011

Selepas dibaham Kelantan, Selangor, barisan Elavarasan mahu benam Penyu






"LUPAKAN dua kekalahan lalu dan bangkit mencipta kembali kemenangan." Itu permintaan kapten FELDA United, Khaironnisam Sahabuddin Hussain terhadap rakan seperjuangan menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, malam ini.

Khaironnisam berkata, kekalahan berturut-turut 6-0 kepada Kelantan dan terbaru 1-0 kepada Selangor Selasa lalu, memang memberi kesan terhadap moral pasukan, namun ia sukar dielak kerana FELDA tidak dapat menurunkan ramai pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan.

“Kini, beberapa pemain utama kembali beraksi dan saya harap kami dapat menampilkan corak permainan sebenar dan mencatatkan kemenangan,” katanya, ketika dihubungi semalam.

FELDA United yang suatu ketika di kelompok tiga teratas carta Liga Super, kini merosot ke tangga keenam dengan 15 mata selepas 11 perlawanan.

Untuk perlawanan menentang Terengganu, barisan bimbingan E Elavarasan dijangka kembali menurunkan Azi Shahril Azmi dan Liew Kit Kong untuk menguatkan jentera tengah dan serangan pasukan itu.
Khaironnisam berkata, ketiadaan kedua-dua tonggak terbabit sebelum ini nyata menjejaskan serangan pasukan itu hingga memaksa jurulatih, Elavarasan membuat beberapa pertukaran bagi menampung ketumpulan di barisan serangan.

“Kami perlu menang ke atas Terengganu jika ingin terus memberi cabaran dalam liga dan saya meminta rakan sepasukan cuba memburu gol awal bagi memberi tekanan terhadap lawan,” katanya.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...