Selasa, 12 April 2011

Info@Sukan : Ibu Pejabat AFF Akan Dibina Di Kuala Lumpur?




Sultan Ahmad Shah yang baru dipilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) bercadang membina ibu pejabat AFF di Kuala Lumpur.

Justeru, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan sebidang tanah untuk membangunkan ibu pejabat AFF di negara ini.


“Saya akan mendapatkan persetujuan daripada ahli jawatankuasa AFF sebelum menulis surat kepada Perdana Menteri kerana ia hasrat saya selepas dilantik sebagai Presiden AFF.

“Bagi saya, Najib adalah seorang yang sangat memahami dan pasti beliau akan menyokong hal berkaitan sukan,” katanya pada sidang media di Kuantan, semalam.


Sultan Ahmad Shah berkata, ketika menjadi Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan pembinaan bangunan AFC termasuk mendapat peruntukan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).


“Bagi bangunan AFF ini, saya akan mendapatkan bantuan daripada FIFA. Pada masa sama, AFF pasti mempunyai peruntukan sendiri.

“Kami tidak mahu menyusahkan Kerajaan Pusat atau Kerajaan Pahang. Oleh itu, saya akan usahakan sendiri termasuk saya sendiri akan ke Zurith untuk berjumpa Presiden Fifa, Sepp Blatter,” katanya.


Mengulas perlantikan Presiden AFF yang baru, Sultan Ahmad Shah bersyukur kerana ahli gabungan AFF sebulat suara memilihnya bagi menggantikan Tengku Ahmad Rithauddeen yang meneraju AFF sejak 1995.

“Keyakinan mereka memberi semangat untuk meningkatkan mutu bola sepak bukan saja di Asia tenggara, malah Asia,” katanya.


Selain Malaysia, AFF yang ditubuhkan pada 1984 turut dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...