Selasa, 12 April 2011

Info@SPL : Barca Hormati Shakhtar




MADRID: Pep Guardiola tetap tidak mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapi apabila bertandang ke Shakhtar Donetsk awal pagi esok bagi mengelakkan sebarang keputusan mengejut menjelang pertembungan getir berdepan Real Madrid.

Barca di kedudukan selesa hasil kemenangan 5-1 pada suku akhir pertama sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir akhir Liga Juara-Juara namun jurulatih mereka tidak mahu anak buahnya leka.


Ini kerana kelab dari Ukraine itu mencetuskan banyak masalah kepada Barca pada awal permainan di Nou Camp minggu lalu dengan kepantasan penyerang mereka sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan tuan rumah.

“Walaupun kami memiliki keputusan yang baik namun perlawanan itu nanti tetap sukar,” kata penyerang, Pedro Rodriguez.


“Kami masih perlu mengharungi perlawanan selama 90 minit dan apa saja boleh berlaku. Mereka memiliki pasukan yang hebat. Kami mendapat pengajaran dalam saingan Piala Raja Sepanyol apabila Barca menang 5-0 menentang Real Betis di gelanggang sendiri dan kemudian kalah 3-1 di tempat lawan.


“Kami tidak akan mengubah cara bermain. Kami akan bermain dengan corak menyerang di sana dan menjaringkan gol,” katanya.

Rentak kemenangan amat penting buat Barca kerana selepas itu mereka akan berdepan perlawanan yang kemungkinan bakal menjadi penentu kejuaraan La Liga menentang Real Madrid di Bernabeu, Sabtu ini.


Guardiola menganggap pertembungan itu sebagai peluang terbaik membuat perhitungan kejuaraan selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan pasukan bawahan, Almeria 3-1 di laman sendiri, Sabtu lalu.

Mereka mendahului tangga teratas dengan kelebihan lapan mata ketika saingan berbaki lapan perlawanan.


Empat hari selepas pertembungan 'clasico' itu, mereka akan bertemu Real Madrid sekali lagi pada final Piala Raja Sepanyol dan dengan andaian kemaraan skuad kendalian Jose Mourinho tidak akan mampu disekat Tottenham Hotspur Khamis ini, dua pasukan gergasi Sepanyol itu dijangka akan bertemu pada separuh akhir Liga Juara-Juara.


Barca akan turun beraksi tanpa Carles Puyol, Eric Abidal dan Bojan Krkic yang mengalami kecederaan manakala Andres Iniesta digantung perlawanan.


Shakhtar mengalami kekalahan pertama di Dondass Arena, Sabtu lalu apabila tumpas 0-1 kepada FC Obolon.


Situasi semakin sukar apabila pemain pertahanan Croatia dan ketua pasukan Dario Srna yang terpaksa diketepikan selama dua minggu sekali gus menyebabkan jurulatih Mircea Lucescu berdepan masalah di bahagian pertahanan.


Selain Srna, Olexandr Kucher dan bekas pemain pertahanan Barca, Dmytro Chygrynskiy turut mengalami kecederaan manakala Razvan Rat digantung perlawanan.


Lucescu mungkin terpaksa menurunkan pemain kurang berpengalaman, Serhiy Kryvtsov untuk mengisi posisi pertahanan tengah bersama Mykola Ishchenko, Vyacheslav Shevchuk atau Vasyl Kobin yang kesemuanya masih kurang cergas. - Reuters

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...