Rabu, 20 April 2011

Kebangkitan Kelantan Umpama Harimau 'Kelaparan'

Perlawanan Liga Super antara Perlis dengan Kelantan merupakan perlawanan yang paling banyak menghasilkan jaringan berbanding lima lagi aksi pasukan lain. Siapa pun tidak menduga bahawa Kelantan kembali bangkit daripada kesedihan minggu lalu dengan mencatatkan kemenangan besar 5-1 di Stadium Utama Negeri Kangar, Perlis.

Kemenangan ini melonjak pasukan The Red Warriors satu anak tangga untuk mengatasi Perak yang pada malam tadi hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Terengganu. Ini bermakna kelantan masih mempunyai peluang untuk kembali melaungkan cabaran kepada pendahulu Liga Super, Selangor yang dilihat agak bernasib baik apabila mereka merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Shah Alam.

Kejayaan The Red Warriors semalam cukup bermakna sekali apabila dua ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha  dan Kapten pasukan, Mohd Badri Radzi masing-masing menghasilkan jaringan yang cukup bergaya. Pesta  gol skuad Kelantan bermula apabila penyerang sensasi The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghidu peluang dan beliau tidak menunggu lama untuk meledakkan gol pada minit ke7. Namun, pada minit ke12, penyokong The Red Warriors tergamam seketika apabila penyerang Perlis, Mohd Faiz Subri berjaya menjaringkan gol penyamaan buat pasukan tuan rumah.

Meskipun diasak oleh pemain Perlis,ternyata pemain The Red Warriors yang dipimpin kapten pasukan, Badri Radzi tidak banyak melakukan kesilapan dan pada minit-minit akhir separuh masa pertama, Norshahrul sekali lagi meletakkan Kelantan di depan apabila pemain itu lebih pintar memperdayakan pertahanan lawan.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan sekali lagi mengatur serangan 'kilat' dan tidak sampai lima minit separuh masa kedua berlangsung,  Badri Radzi berjaya menjaringkan gol pada minit ke48 yang sekaligus meletakkan Red Warriors semakin selesa mendahului perlawanan. Kapten pasukan Kelantan, Badri Radzi menjadi wira Kelantan apabila beliau meledak dua lagi gol pada minit ke68 dan minit ke80.

Ternyata amat berbaloi prestasi Badri Radzi yang sebelum ini diberi pelepasan berehat akibat masalah kecergasan sejak aksi bertemu T-Team lalu. Kini Badri Radzi telah menjaringkan 6 gol setakat ini dan ianya merupakan satu kehebatan bagi seseorang pemain 'midfield'. Kecemerlangan beliau malam  tadi sekaligus menutup mulut pihak yang sebelum ini sering mengkritik persembahannya. Kebangkitan kapten TRW ini sebenarnya memang tepat pada masanya memandangkan Kelantan akan bertemu dengan Selangor tidak lama lagi. Diharap persembahan malam ini menjadi pembakar semangat para pemain.

Kemenangan di Kangar semalam berjaya menghapuskan 'badi' kekalahan The Red Warriors di tempat lawan dan hal ini pastinya menggembirakan seluruh warga Kelantan yang sememangnya mengharapkan kemenangan pasukan kegemarannya.

TAHNIAH THE RED WARRIORS!


Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...