Selasa, 5 April 2011

Mampukah T-Team Dijinakkan Untuk Kali Kedua?





PENDAHULU Liga Super, Kelantan dijangka mengharungi tugas getir untuk terus kekal di takhta liga apabila berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

T-Team yang diaibkan Kelantan dalam pusingan pertama kalah mati Piala FA, 18 Februari lalu, pasti ingin membalas dendam, sekali gus meletakkan mereka ibarat seekor ‘harimau yang cedera’.
Berdasarkan senario itu, jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu memberi tumpuan terhadap kemantapan mental anak buahnya lebih-lebih lagi T-Team dikategorikan sebagai pasukan yang kuat, terutama dengan kehadiran bekas pemain Kelantan seperti Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Azizi Mat Rose.

“Perlawanan malam ini pasti mengukur kekuatan mental pemain terutama berdepan T-Team yang pasti mendapat kelebihan moral di tempat sendiri dan masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Sabah.

“Sudah pasti mereka merancang strategi mantap untuk memusnahkan harapan Kelantan mengutip tiga mata penuh,” katanya yang sekali lagi akan menyandarkan harapan terhadap Norshahrul Idlan Talaha untuk mencari jaringan.

Namun, Karathu yakin dengan keupayaan jentera serangan The Red Warriors memecah benteng pertahanan lawan walaupun tindakan penyudah seharusnya dipertajamkan lagi, sambil menyebut kelibat S Chanturu yang bijak mencari ruang tetapi lemah dalam aksi penyudah.
Menurutnya, anak buahnya juga diarah meningkatkan tekanan terhadap lawan bagi memastikan peluang jaringan digunakan sepenuhnya.

Sementara itu, Chanturu mengakui tahap ketajamannya perlu dipertingkatkan dan memerlukan sedikit masa untuk memperbaiki kelemahan itu.

“Saya baru menyesuaikan diri dengan posisi baru sebagai penyerang dan yakin selepas beberapa kali diturunkan di posisi ini, penyudah saya akan lebih berkesan selepas kurang mendapat rentak ketika bertemu Harimau Muda A minggu lalu,” katanya.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...