Selasa, 12 April 2011

Info@EPL : United Waspada Muslihat Chelsea




MANCHESTER - Segala-galanya kini nyata berpihak kepada Manchester United untuk meneruskan langkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila menanti kunjungan Chelsea pada aksi suku akhir kedua di Old Trafford awal pagi esok.

United kini memiliki kelebihan satu gol menerusi kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Stamford Bridge minggu lalu hasil jaringan tunggal Wayne Rooney.

Lebih menarik, skuad bimbingan Alex Ferguson itu hanya tewas sekali dalam 30 perlawanan saingan Eropah di Old Trafford dan belum pernah tewas pada enam tahun terakhir.

Statistik turut menunjukkan bahawa United berjaya mengatasi lawan mereka pada kesemua 16 pertemuan Liga Juara-Juara jika mereka menang pada aksi pertama di tempat lawan.

Bagaimanapun, Ferguson tetap mengingatkan barisan pemainnya agar berwaspada ketika berdepan skuad The Blues yang masih mengintai peluang mara ke saingan separuh akhir.

"Sudah tentu Chelsea tetap mampu mengatasi kami di Old Trafford seperti mana yang mereka pernah lakukan pada saingan Liga Perdana England musim lalu.

"Untuk pertemuan kali ini, kami hanya memiliki kelebihan satu gol. Jadi kami perlu turun dengan berhati-hati dan memberikan satu persembahan terbaik.

"Ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang cukup sengit. Apa yang saya perlu katakan, tugas kami belum lagi selesai buat masa ini," kata Ferguson.

Sabtu lalu, Ferguson telah merehatkan lapan pemainnya ketika menewaskan Fulham 2-0 pada aksi Liga Perdana England.

Antonio Valencia yang menjaringkan satu gol pada perlawanan itu memberikan lebih pilihan kepada Ferguson untuk memperkuatkan jentera serangannya awal pagi esok.

Ferguson hanya meletakkan seorang lagi pemain sayap, Nani bermula dari bangku simpanan ketika aksi di Stamford Bridge minggu lalu. - Reuters

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...