Selasa, 12 April 2011

Selepas Kelantan Dan Selangor, Adakah Terengganu Pula Bakal Jadi Mangsa Kebangkitan T-Team?





MAMPUKAH skuad kendalian Yunus Alif meneruskan kejutan ke atas pasukan-pasukan elit, atau anak-anak buah Irfan Bakti lebih berhak memegang status sebagai pasukan No. 1 di Terengganu.

Semua persoalan itu akan terjawab malam ini dalam pertembungan ‘adik-beradik’ melibatkan T-Team menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Atas kertas, Terengganu masih memiliki kelebihan untuk mendahului T-Team berdasarkan kedudukan dalam liga, namun prestasi luar biasa yang disajikan anak- anak buah Yunus memungkinkan satu lagi kejutan bakal berlaku.

T-Team mula mencuri tumpuan musim ini hasil kemenangan 4-3 ke atas juara Piala Malaysia, Kelantan minggu lalu sebelum membenam ego Selangor 2-0 di Shah Alam.

Dua kemenangan yang dicatat dalam tempoh seminggu itu turut melonjakkan kedudukan T-Team dari kelompok tiga tercorot ke tangga ketujuh liga dengan 14 mata.

Terengganu pula turut kekal konsisten dengan dua kemenangan berturut-turut termasuk ke atas Harimau Muda A untuk berada di tangga keenam liga dengan 18 mata.

Bagi Yunus, kemenangan ke atas Kelantan dan Selangor sebelum ini benar-benar telah menyuntik semangat baru dalam diri kesemua pemain-pemainnya.

Malah, bekas pemain kebangsaan itu juga bertekad untuk menyekat penguasaan Terengganu dalam kempen Liga Super musim ini.

“Kami tidak sesekali akan memberi laluan kepada Terengganu sekalipun sedar perlawanan ini melibatkan pertembungan adik-beradik.

“Ketika kami berada pada prestasi merundum pada awal musim, tiada siapa yang simpati kepada kami dan kini, kami mahu buktikan kewibawaan sebenar yang dimiliki oleh pasukan T-Team,” katanya.

Yunus juga mengakui permainan yang dipamerkan T-Team ketika menewaskan Selangor di Shah Alam tempoh hari sebagai permainan penuh tersusun dan taktikal.

Katanya, kombinasi pemain tengah antara Zairo Anuar Zailani dan Norfarhan Mohammad selain Indra Putra Mahyuddin jelas telah membuahkan hasil dengan 14 koleksi gol setakat ini.

"Saya sedar tumpuan kini lebih terarah kepada pasukan T-Team dan semua orang mengharapkan sesuatu daripada kami dalam setiap perlawanan.

“Namun saya enggan terlalu yakin kerana apa yang penting, pemain-pemain saya dapat fokus dalam setiap perlawanan dan bukannya pada aksi-aksi penting seperti malam esok (malam ini).

“Kami perlu menang setiap perlawanan tidak kira kami menentang pasukan elit ataupun tidak kerana matlamat utama kami adalah mengutip tiga mata penuh,” jelasnya.

Sementara itu, jurulatih penuh pengalaman, Irfan Bakti tetap mengharapkan tiga mata penuh pada perlawanan malam ini dalam misi pasukannya untuk bersaing di persada liga.

“Setiap perlawanan adalah penting tidak kira kami menentang T-Team ataupun pasukan lain.

“Apa yang kami mahu adalah kemenangan dan saya yakin pemain-pemain saya mampu melakukannya malam esok (malam ini),” tegasnya.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...