BLACKPOOL - Arsenal akhirnya berjaya pulih daripada tekanan mental yang dihadapi mereka berikutan prestasi hambar sebelum ini apabila menewaskan Blackpool 3-1 di tempat lawan malam kelmarin.
Pada penghujung Februari lalu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengimpikan empat trofi musim ini tetapi malangnya mereka tewas kepada Birmingham City pada final Piala Liga serta tersingkir daripada Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Kini yang tinggal hanyalah trofi Liga Perdana England menjadi sasaran skuad The Gunners itu.
Tiga gol sumbangan Abou Diaby, Emmanuel Eboue dan Robin van Persie membolehkan Arsenal kini hanya tujuh mata di belakang pendahulu, Manchester United dengan mereka kurang satu perlawanan berbanding skuad bimbingan Alex Ferguson itu.
"Memang ia satu tempoh mengecewakan apabila kami terpaksa mengharungi segala kesedihan ini dan perlu bangkit dengan segera. Namun para pemain telah memberi respons yang cukup baik dan memiliki kekuatan mental.
"Walaupun kemenangan ke atas Blackpool ini sekadar memberi kami tiga mata penuh, ia telah membantu kami untuk meneruskan perjuangan.
"Kami telah berjanji pada diri untuk memberikan segala-galanya sehingga tamat saingan musim ini. Masih ada baki tujuh perlawanan, ia satu tempoh yang agak panjang," kata Wenger.
Pengurus Arsenal itu turut memuji penampilan pertama penjaga gol veteran berusia 41 tahun, Jens Lehmann yang kembali selepas 11 bulan dia bersara.
Lehmann dipinjam Arsenal berikutan kecederaan Wojciech Szczesny dan pada aksi malam kelmarin, Manuel Almunia pula mengalami kecederaan lutut ketika sesi memanaskan badan, sekali gus membolehkan Lehmann diturunkan.
"Saya tiada masalah kerana saya menggantikan penjaga gol hebat dengan seorang lagi penjaga gol hebat. Cuma apa yang sedikit merisaukan kami, tiada penjaga gol gantian di bangku simpanan," jelas Wenger.
"Apa pun Lehmann telah beraksi baik. Dia memberi arahan, menyusun pertahanan dan menunjukkan kredibilitinya. Selain itu, dia cukup bagus pada situasi bola mati." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan