Selasa, 5 April 2011

T-Team Tak Kisah Status Red Warriors Sebagai Pendahulu Liga


WALAU lawan bergelar pendahulu Liga Super, T-Team tidak gentar berdepan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam ini dan mahu memastikan pelawat berputih mata di akhir saingan.

Jurulatih Yunus Aliff sudah membuat persediaan rapi untuk menyekat hasrat barisan bimbingan Datuk M Karathu itu pulang dengan sebarang mata.

Menurutnya, dia sudah mengenal pasti barisan terbaiknya bagi menggalas tugas penting itu di depan penyokong sendiri.
“Saya mengingatkan anak buah supaya tidak memberi sebarang ruang kepada pemain lawan bertindak menjaringkan gol dan jika itu dapat dilakukan dengan baik, peluang kami mengutip mata penuh cerah,” katanya.

Sekali lagi, T-Team menyandarkan harapan kepada tiga penggempur yang semakin serasi - Mohd Haris Safwan Md Kamal, Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayudin - untuk menghidu peluang jaringan lawan yang mengecewakan mereka menerusi sepakan penalti penentuan di pusingan awal Piala FA Februari lalu.

“Saya dapati ketiga-tiga mereka kian serasi di barisan depan serangan dan jika dapat bekerjasama baik sekali lagi, matlamat memburu kemenangan mampu direalisasikan,” kata Yunus.

Bekas pemain tengah kebangsaan itu juga pantas mengingatkan barisan pertahanannya supaya tidak leka kepantasan barisan depan lawan yang mampu melancarkan serangan pantas terutama gerakan pemain sayap S Chanturu serta ketajaman Norshahrul Idlan Talaha.
“Saya yakin dengan kemampuan penjaga gol Syamsuri (Mustafa) untuk membaca setiap gerakan lawan dan menghalang sebarang cubaan bahaya penyerang mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...