Selasa, 12 April 2011

Info@EPL : Wenger Kini Kembali Tersenyum




BLACKPOOL: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan pasukan itu kembali ke prestasi sebenar selepas mempamerkan aksi buruk untuk bangkit memberikan cabaran dalam pemburuan gelaran liga apabila menang 3-1 ke atas Blackpool, kelmarin.

Hujung Februari lalu, barisan anak buah Wenger berpeluang merebut empat gelaran namun tewas pada perlawanan akhir Piala Liga kepada Birmingham, terkeluar daripada saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara sementara harapan untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris semakin tipis apabila sekadar mencatatkan tiga keputusan seri.


Wenger mengakui apa yang berlaku meninggalkan kesan mendalam kepada barisan pemainnya namun kemenangan Ahad lalu di Bloomfield Road menunjukkan mereka masih berpeluang memburu gelaran liga.

Jaringan Abou Diaby, Emmanuel Eboue dan Robin van Persie membantu Arsenal merapat jurang tujuh mata dengan Manchester United selain turut mempunyai kelebihan satu perlawanan selain bakal bertemu skuad Alex Ferguson di Stadium Emirates, Mei ini.


“Ia sangat mengecewakan. Anda melalui tempoh menyedihkan dan kemudiannya perlu bangkit untuk membuktikan kepada semua anda mempunyai kekuatan mental untuk terus memberi saingan. Pemain melakukan tugas mereka dengan amat baik.


“Biarpun hanya tiga mata, ia menghidupkan peluang. Kami perlu berjanji memberi peluang kepada diri sendiri sehingga tamat musim.

“Masih ada tujuh perlawanan. Ia satu tempoh panjang,” katanya.


Wenger turut memuji penjaga gol Jerman, Jens Lehmann yang membuat penampilan buat pertama kali dalam tempoh 11 bulan.

Lehmann, 41, kembali daripada persaraan Mac lalu untuk membantu bekas kelab itu ketika Wojciech Szczesny mengalami kecederaan jari sewaktu menentang Barcelona.


Selepas penjaga gol utama Manuel Almunia terpaksa direhatkan kerana kecederaan lutut ketika memanaskan badan di Bloomfield Road, Lehmann dipanggil semula mengisi kekosongan itu buat pertama kali selepas meninggalkan Stuttgart, Mei tahun lalu. - AFP

Tiada ulasan:

Laman PFKE.com akan kembali gegar Liga M

Setelah hampir 5 tahun menyepi, Laman PFKE.com akan kembali berkarya dan menyampaikan maklumat terkini mengenai pasukan bolasepak K...