**Sebelum anda teruskan membaca, adalah dimaklumkan setiap kenyataan di bawah ada bukti berakam (tape recorder), agar ia tidak menjadi seperti isu Indra Putra sebelum ini. Ini penting untuk membuktikan segala artikel di Suara Sukan adalah benar belaka, tiada yang sengaja disensasikan.
“Kami hormati pasukan Kelantan, mereka bukan sebarangan pasukan, ia pasti sukar buat Perak namun kami bukanlah Felda United untuk bolos setengah dozen gol, kalau Kelantan harap senang nak ratah kami, mereka silap. Sepertimana mereka bersedia, seperti itu juga lah kami bersedia. Kami mungkin tewas kepada Sabah, namun itu tak bermakna kami dah tak kebal, Kelantan pun kalah dengan T-Team. Kelantan kalau diikutkan rekod tempat lawan tak berapa bagus, jadi saya rasa Perak boleh ambil kesempatan”, jelas Akmal Rizal Ahmad Rakhli, bekas penyerang kebangsaan dan Kelantan.
Akmal nyata tidak seperti beberapa bekas pemain Kelantan yang lain, tidak mahu memperkecilkan kemampuan Sang Kijang, dan mahu Perak bangkit menebus aib di Likas tempoh hari, dengan menjadikan Kelantan mangsa kebangkitan.
Apapun, Akmal sedar tugas skuad Seladang, bimbingan Norizan Bakar, atau lebih dikenali Cikgu Jan bukanlah mudah, kerana Kelantan ketika ini di prestasi terbaik selepas membenam Felda United 6-0.
Namun, Akmal yakin beliau dan rakan sepasukan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik mengutip tiga mata penuh, seterusnya mengambil alih kedudukan pendahulu.
Akmal, ketika mewakili Kelantan 2010 |
Ini merupakan perlawanan pertama Akmal menentang bekas pasukannya itu, selepas berhijrah menyertai skuad Perak awal tahun ini, dan Akmal berpendapat perlawanan Perak menentang Kelantan adalah perlawanan paling besar untuk tahun ini.
Akmal berkata kejayaan manis menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan musim lalu masih dirasai, dan mahu mengulanginya bersama Perak tahun ini, dalam saingan liga dan Piala Malaysia. Beliau berjanji mahu meneruskan rentetan aksi cemerlang, dengan sekali lagi mempamer sentuhan penyudah berkesan.
Ditanya sekiranya beliau bersedia berdepan ejekan atau kritikan penyokong Kelantan, Akmal berharap penyokong Kelantan menghormatinya sebagai seorang bekas pemain, dan tidak menimbulkan provokasi.
“Saya juga mahu buktikan sesuatu kepada penyokong Kelantan, bahawa saya masih berbisa, penyokong Kelantan ni bagus, saya hormati mereka, dan saya harap mereka pun sama hormati saya, sebagai bekas pemain Kelantan, saya kini pemain Perak, saya akan lakukan yang terbaik untuk Perak. Apa jua keputusan perlawanan, menang kalah adat pertandingan.”
Akmal, bukanlah nama asing di dalam arena bolasepak tanah air, pernah mewakili kelab Perancis, Strasbourg FC, negeri kelahirannya Kedah, Kuala Muda Naza, Selangor, Kelantan selain skuad kebangsaan.
Perak ketika ini, menghuni tangga ketiga dengan 19 mata, hanya 1 mata di belakang Kelantan yang mendahului carta liga dengan 20 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan