Selangor kembali bangkit daripada kekecewaan, Sabtu lalu dengan kembali menerajui persada Liga Super selepas menewaskan FELDA United 1-0 di Stadium KLFA Cheras, malam tadi.
Sebaik wisel ditiup, Selangor terus mengasak namun percubaan mereka lebih banyak tersasar atau diselamatkan penjaga gol, sambil FELDA United lebih banyak bertahan dan tiada langsung menguji gawang pelawat.
Tanpa kelibat Amri Yahyah yang digantung akibat mendapat kad merah pada perlawanan menentang T-Team Sabtu lalu, jentera serangan Selangor tampak tumpul melakukan tindakan penyudah pada awal babak pertama.
Gandingan Fadzli Saari dan Rudie Ramli yang tidak putus cuba menceroboh gawang lawan, gagal memecah kebuntuan selepas beberapa percubaan tepat kedua penyerang itu berjaya dinafikan penjaga gol FELDA, Mohd Hamsani Ahmad.
Fadzli akhirnya menceriakan kem penyokong Selangor dengan gol pembukaan minit ke-31 selepas menanduk kemas sepakan sudut diambil kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim.
Pada babak kedua, Fadzli hampir menggandakan jaringan untuk Selangor tetapi rembatannya dari dalam kotak penalti pada minit ke-63 sekadar terkena palang.
Anak buah E Elavarasan cuba bangkit menyamakan kedudukan dengan meningkatkan asakan pada minit-minit terakhir permainan, tetapi skuad kendalian K Devan memastikan tiga mata milik mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan